Laman

Minggu, 03 Maret 2013

Hikmah doa penuh kesabaran

Tajdid Iman: Hikmah doa penuh kesabaran  Bersama Dr Juanda Jaya

   ANAS bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Telah berkata
Jibril: "Wahai Tuhan, Engkau sampaikanlah maksud dan hajat hamba-Mu si
polan...Maka, Allah menjawab: "Biarkan hamba-Ku itu, kerana Aku mencintai
suaranya (yang selalu bermohon dan meratap kepada-Ku)."
              \n'); document.writeln('\n'); document.writeln('\n'); //-->
Hadis itu begitu dalam maknanya iaitu mengenai hubungan dan rahsia antara hamba
dengan Allah. Sesiapa pun tidak berhak mengganggu-gugat kekuatan cinta
kedua-duanya. Disebabkan cinta manusia yang mengharap dan berdoa serta kerana
rahmat-Nya juga, Dia merindui ratapan dan rayuan si hamba.

Adakah doa ini tiada didengar atau kekotoran roh yang menghijab kurniaan Allah?
Tangisan dan rintihan rupanya tidak sia-sia, tetapi umpama bisikan rindu yang
dikasihi al-Rahman.

Jika kita boleh memilih dan berkuasa atas kehidupan sendiri, segala-galanya akan
tercipta sesuai dengan keinginan kita. Tetapi, kita tidak berhak atas hidup yang
seperti ini. Kuasa mencipta dan memilih milik Allah.

Sebagai hamba yang lemah dan amat bergantung kepada belas ihsan-Nya, kita hanya
boleh berusaha dan berdoa. Allah yang akan menentukan apa yang terbaik bagi diri
kita. Firman Allah bermaksud: "Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkannya
berlaku dan Dialah juga yang memilih, tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi
sesiapa pun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha
Tinggilah keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. Dan Tuhanmu
Mengetahui daripada apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka
zahirkan." (Surah al-Qasas, ayat 68-69)

Mengapa manusia cepat berputus asa ketika berdoa? Bukankah doa itu adalah ujian
keimanan bagi mereka yang bersungguh-sungguh bermujahadah. Alangkah ruginya
orang yang berhenti berdoa kerana jemu menunggu dan menunggu harapan yang belum
terjawab.

Bukankah doa Nabi Musa dan Harun pada ayat 88, Surah Yunus yang berisi mengenai
permintaan kedua-duanya supaya Firaun dibinasakan, akhirnya terjawab setelah 40
tahun berdoa? Kalau kita tidak sesabar Nabi Allah Musa dan Harun, eloklah teliti
hadis berikut ini.

Diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri bahawa telah bersabda Nabi SAW: "Tidak
ada seorang Muslim yang membaca doa di mana tiada pada doanya itu hal yang
menimbulkan dosa dan memutuskan hubungan silaturahim, melainkan Allah pasti akan
memberikan kepada orang itu dengan doanya salah satu dari tiga macam. Ada
kalanya Allah segera memperkenankan doanya. Ada kalanya doanya itu dijadikan
oleh Allah sebagai simpanan pahala di akhirat. Dan ada kalanya Allah memalingkan
dan menghindarkan sebarang kejahatan (bala dan bencana) daripada orang itu
sesuai dengan doanya."

Berkata sahabat: “Kalau begitu lebih baik kita memperbanyakkan doa!” Nabi SAW
bersabda: “Allah akan memperbanyakkan pemberian-Nya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad
dan al-Hakim, katanya semua perawinya adalah sahih)

Tidak sedikit pun kerugian jika kita sering memanjatkan doa. Yang pasti, tiga
janji akan Allah berikan kepada yang bersungguh-sungguh berdoa.

Tetapi, perlu diingat ada faktor yang boleh menjejaskan doa itu daripada
dikabulkan oleh Allah iaitu:


Terburu-buru dan berputus asa.

Nabi SAW bersabda: “Doa salah seorang daripada kamu akan diperkenankan oleh
Allah asalkan saja seseorang itu tidak terburu-buru lalu ia mengatakan: Aku
telah berdoa, tetapi doaku belum diperkenankan." (Hadis riwayat al-Bukhari dan
Muslim)


Menggunakan rezeki daripada sumber yang haram.

Nabi SAW bersabda dengan menyebut hal seorang lelaki yang jauh perjalanannya,
kusut rambutnya, berdebu badannya, mengangkat kedua-dua tangannya ke atas langit
sambil berdoa: “Ya Rabbi, Ya Rabbi, sedangkan makanannya dari harta yang haram,
minumannya daripada harta yang haram, pakaiannya daripada harta yang haram dan
mulutnya disuapkan makanan yang haram, maka bagaimana akan diperkenankan
doanya?" (Hadis riwayat Muslim).

Terus meminta dan berharap kepada Allah kerana Dia tidak pernah menyalahi
janji-Nya. Yang perlu diingat ialah bukan kita yang memilih apa yang akan
terjadi pada diri ini, tetapi Allahlah yang berhak memilihnya.

Begitu juga dengan persoalan bilakah masanya Allah akan mengabulkan doa itu? Ia
adalah hak Allah semata-mata kerana Dia Maha Mengetahui masa yang paling sesuai
dan baik untuk diberikannya apa yang diminta daripada-Nya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar